Seiring dengan kesedaran kebangsaan yang mula pada awal abad ke-20, maka lahirlah persatuan guru yang pertama di Pulau Pinang. Persatuan ini dikenali sebagai Persakutuan Guru-guru Melayu Pulau Pinang dan Jajahannya (PGMPPJ). Kesatuan ini dibentuk pada tahun 1920 melalui usaha beberapa orang guru antaranya Mohammad bin Hj. Abdul Mutalib, Muhammad Zain bin Haji Ayub dan Che Cik bin Tajuddin. Pada masa terbentuknya PGMPPJ, ahli yang terkumpul seramai 240 orang. Mereka terdiri daripada guru-guru lepasan Maktab Teluk Belanga seramai 30 orang dan Maktab Melaka seramai 110 orang. Manakala selebihnya merupakan guru-guru tidak terlatih
Cikgu Muhammad Zain Haji Ayub
Cikgu Muhammad Zain Haji Ayub merupakan teraju utama yang memainkan peranan penting dalam penubuhan PGMPPS. Pada bulan Januari 1920, beliau telah dihantar ke Pulau Pinang dari Selangor dengan jawatan Penolong Nazir. Beliau menjadi tempat mengadu para guru dengan pelbagai isu dan masalah. Selaku seorang yang amat prihatin dengan nasib guru-guru dan pendidikan anak bangsa, maka beliau telah menganjurkan satu perjumpaan dengan guru-guru Melayu Pulau Pinang dan jajahannya. Tarikh keramat tersebut adalah 6 Ogos 1920 dan bermula pada pukul 8.00 pagi di Sekolah Chowrasta. Mesyuarat tersebut dihadiri seramai 65 orang guru dan mereka bersetuju untuk menubuhkan Persatuan Guru-guru Melayu Pulau Pinang dan Jajahannya (PGMPPJ). Dengan persetujuan mesyuarat, En. Muhammad Zain telah ditugaskan untuk membentuk perlembagaan persatuan. Mesyuarat agung penubuhan PGMPPJ diadakan sebulan kemudian iaitu pada 3 September 1920. Pada kali ini seramai 96 orang guru hadir dan mereka telah menerima perlembagaan yang telah digubal oleh Cikgu Muhammad Zain bin Hj. Ayub. Mereka juga telah membentuk jawatankuasa untuk menguruskan persatuan. Jawatankuasanya adalah seperti berikut:
· Penaung: Mr. M.T. Clark (Nazir Sekolah)
· Yang Dipertua: Cikgu Muhammad Zain Hj. Ayub (Penolong Nazir)
· Setiausaha: Cikgu Ishak bin Md Taib
· Pen. Setiausaha: Cikgu Abu Bakar bin Naina Fakir
· Bendahari: Cikgu Muhammad bin Hj. Abdul Mutalib
· Pemeriksa Kira-kira: Cikgu Che Chik bin Tajudin
· Penjaga Kutub Khanah:Cikgu Haji Hashim bin Ab. Rahman
· Ketua Permainan Sepak Bola: Cikgu Abu Bakar bin Abdullah
· Pen. Ketua Permainan: Cikgu Md Isa bin Hj. Hasan
· Ketua Sepak Bola Seberang Perai: Cikgu Mustafa bin Abu Bakar
· Pen. Ketua Sepak Bola S. Perai : Cikgu Shabudin bin Maydin
· Ahli Jawatankuasa:
Cikgu Mohammad b. H.A. Mutalib (Kumpulan Bandar)
Cikgu Mohammad b. Mohammadiah (Kumpulan Bayan Lepas)
Cikgu Puteh b. Md Amin (Kumpulan Balik Pulau)
Cikgu Che Chik b. Tajudin (Kumpulan Penaga)
Cikgu Puteh bin Muhammad (Kumpulan Aur Gading)
Cikgu Arshad b. Hj. Omar (Kumpulan Permatang Pauh)
Cikgu Ishak b. Tajudin (Kumpulan Bukit Mertajam)
Cikgu Puteh b. Hj. Husain (Kumpulan Nibong Tebal)
Cikgu Puteh b. Ahmad (Kumpulan Dinding dan Pangkor)